KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 merosot kepada RM634.83 juta daripada RM701.34 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas terutamanya berikutan pendapatan berasaskan bukan dana yang rendah dan perbelanjaan operasi tinggi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, ia berkata, perolehan bagi suku kedua 2022 meningkat kepada RM2.98 bilion daripada RM2.92 bilion sebelum ini.

Margin faedah bersih (NIM) pada suku itu adalah 2.23 peratus berbanding 2.5 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2022, ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.23 bilion daripada RM1.35 bilion, manakala pendapatan meningkat kepada RM5.84 bilion berbanding RM5.83 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurut bank itu, pendapatan berasaskan dana bersih menokok kepada RM3.03 bilion pada separuh pertama 2022, dipacu oleh pendapatan berasaskan dana kasar lebih tinggi yang meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun berikutan sokongan daripada pertumbuhan pinjaman sebanyak 7.3 peratus.

Jumlah aset kumpulan meningkat 3.5 peratus berbanding Disember 2021 kepada RM299.7 bilion setakat 30 Jun, 2022. Aset bersih sesaham berjumlah RM6.51 dengan ekuiti pemegang saham sebanyak RM27.4 bilion sehingga akhir Jun 2022.

Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan naik 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM204.9 bilion, terutamanya disokong oleh pertumbuhan membabitkan gadai janji, pembiayaan kereta, Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Singapura.

Sementara itu, pinjaman dan pembiayaan domestik setakat ini meningkat 2.3 peratus.

Seiring dengan prestasinya yang membanggakan, RHB Bank mengumumkan dividen interim 15 sen sesaham yang terdiri daripada pembayaran tunai 10 sen sesaham dan bahagian boleh pilih di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen sebanyak lima sen sesaham kepada pemegang saham.

"Ini bersamaan nisbah pembayaran 51.2 peratus yang mencerminkan penghargaan kami terhadap kepercayaan dan sokongan daripada pemegang saham," katanya.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata, melangkah ke hadapan, bank itu akan mengukuhkan pelan strategik tiga tahun baharu, 'Together We Progress 24' (TWP24), yang menumpukan kepada pengalaman pelanggan yang lebih bermakna dan memacu kualiti pertumbuhan melalui pendigitalan dan inovasi.

"Kumpulan akan terus memberi tumpuan untuk mengintegrasikan kemampanan dalam perniagaan kami dan proses membuat keputusan melalui Strategi dan Pelan Hala Tuju Kemampanan lima tahun," katanya dalam kenyataan berasingan. - BERNAMA